KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan.
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan.
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Hasrat dua sahabat warga Singapura mahu bercuti di Melaka tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 118, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Yong Peng di sini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, mangsa yang maut dikenali sebagai Ng Kai Jie, 22, manakala rakannya Ngian Zhi How, 23, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua sahabat baik itu sedang dalam perjalanan dari Yong Peng menuju ke Pagoh menaiki kereta sewa.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta model Proton Inspira dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori.

“Perlanggaran itu menyebabkan Proton Inspira mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian pemandu. Mangsa cedera parah di kepala disahkan maut serta-merta di tempat kejadian.

“Pemandu trak berusia 44 tahun dan rakan mangsa bagaimanapun hanya cedera ringan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:04 AM