ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran pada bas dan kereta yang terbabit dalam nahas, kelmarin.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran pada bas dan kereta yang terbabit dalam nahas, kelmarin.
Oleh Mohd Hanafis Abdul

Batu Pahat: Polis masih lagi mengesan waris pemandu kereta yang rentung dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 124.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, mangsa yang maut masih belum dikenal pasti identitinya walaupun semakan ke atas nombor pendaftaran kereta Perodua Myvi itu milik Regina Ribau berusia 34 tahun.

Menurutnya, sehingga jam 6 petang semalam identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan segala dokumen pengenalan diri turut hangus dalam kejadian berkenaan, malah usaha menghubungi waris tidak berhasil.

“Pemeriksaan rekod mendapati pemilik kereta bernombor pendaftaran WA 9599 B itu beralamat di Nombor 32 Jln Laksamana 10, Taman Tunku Aminah, Johor Bahru.

“Bagaimanapun kami mendapati waris di alamat pendaftaran kereta berkenaan sudah berpindah dan usaha mengesan ahli keluarga mangsa giat dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi terus Inspektor Asrar Mohd Amin di talian 019-5701619 atau di balai berhampiran.

Menurutnya mangsa sudah diserahkan ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, kereta dipandu mangsa terbakar selepas berlanggar dengan bas ekspres yang membawa 21 penumpang.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan menuju ke Yong Peng secara tiba-tiba memasuki lorong kiri hingga menyebabkan bas yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu menghentam kenderaannya.

Akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelum seluruh bahagian Myvi dan bas itu dimamah api.

Pemandu Myvi disahkan maut akibat rentung manakala 21 penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:22 AM