pasangan kembar Norliana Natasah (kiri) dan Nor Alia Natasha  yang menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Rendah Seberang Takir.
pasangan kembar Norliana Natasah (kiri) dan Nor Alia Natasha yang menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Rendah Seberang Takir.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: “Kami berhasrat mahu menjadi pasangan kembar pertama memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” kata murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Seberang Takir (SKST) Norliana Natasha Rafi, 12.

Norliana Natasha dan kembarnya, Nor Alia Natasha adalah antara 67 calon SKST yang menduduki UPSR bagi Kertas Bahasa Melayu (Kefahaman) yang bermula serentak, semalam.

Dia bersama adik kembarnya berazam untuk melakar sejarah bagi mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan berkenaan.

“Kami mengulang kaji pelajaran bersama-sama di rumah dan secara berkumpulan bersama rakan di sekolah dengan harapan memperoleh 6A.

“Biarpun peperiksaan UPSR kali ini lebih mencabar kerana ada penambahan kertas Bahasa Inggeris 2 tetapi kami tetap fokus serta yakin mampu memberikan yang terbaik,” katanya.

Bagi Nor Alia Natasha, dia dan kakaknya sudah berusaha sebaik mungkin dan berharap impian mereka untuk meraih keputusan 6A dalam UPSR akan tercapai.

“Kami sudah berusaha, berdoa dan selebihnya terserah kepada rezeki.

“Menjadi impian kami untuk menggembirakan ibu bapa dan guru dengan keputusan yang cemerlang. Apa yang diharapkan, segalanya dipermudahkan nanti,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi negeri Bazlan Abd Rahman turut meluangkan masa hadir memberi semangat kepada calon UPSR pada Majlis Perjumpaan di SKST.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin dan Guru Besar SKST Ismail Abdullah.

Sementara itu, Shafruddin berkata, JPNT menyasarkan seramai 4, 000 calon memperoleh 6A dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

“Kami yakin sasaran itu akan tercapai dengan kesungguhan semua calon selain dibantu dengan pelbagai program yang dianjurkan semua pihak termasuk kerajaan negeri serta dorongan ibu bapa dan guru.

“Biarpun UPSR tahun ini agak mencabar kerana berlaku penambahan subjek namun ia bukan alasan untuk negeri ini tidak mengulangi kejayaan yang dicapai sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 20,860 calon menduduki UPSR di 362 pusat peperiksaan di seluruh negeri berbanding tahun lalu seramai 20,900 calon keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 12:06 PM