GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Amirul Aiman Hamsuddin


HANYA dua sahaja calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa, Sabak Bernam yang bermula, hari ini.

Guru Besarnya Khaire Md Zen berkata, dua murid itu, Irdina Iwani Abd Jalil, 12, dan Nurul Zaidah Arshad, 12, hadir pada hari pertama untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan.

“Pada 2018, sekolah ini hanya mempunyai seorang sahaja calon UPSR dan dua calon pada tahun sebelumnya.

“Manakala, jumlah teramai calon yang menduduki peperiksaan adalah enam murid pada 2016,” katanya hari ini.

Khaire berkata, pihaknya bagaimanapun tetap memberikan sokongan penuh kepada calon berkenaan biarpun suasana peperiksaan tidak sama seperti sekolah lain.

“Apa yang penting adalah konsentrasi calon semasa menjawab soalan peperiksaan. Guru di sini akan tetap berikan sokongan penuh,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya menyasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.0 pada tahun ini dan memperoleh keputusan lulus 100 peratus dalam UPSR.

Katanya, SK Tanjong Jawa dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) yang keseluruhannya ada 15 murid iaitu dua orang Tahun Enam, Tahun Lima (3), Tahun Empat (4) Tahun Tiga (3), Tahun Dua (2) dan Tahun Satu (1).

Pada 2015, sekolah diumumkan Sekolah Kebangsaan Terbaik di Sabak Bernam selepas dua calon UPSR bukan sahaja lulus 100 peratus dan memperoleh GPS 1.20.

Pencapaian itu sekali gus melayakkan SK Tanjong Jawa menerima empat anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 3:17 PM