SHAFRUDDIN melawat SKSB, Kuala Berang bagi memantau keadaan murid Orang Asli di sekolah itu, hari ini. FOTO ihsan JPNT.
SHAFRUDDIN melawat SKSB, Kuala Berang bagi memantau keadaan murid Orang Asli di sekolah itu, hari ini. FOTO ihsan JPNT.
Ahmad Rabiul Zulkifli


HANYA 13 murid hadir ke Sekolah Kebangsaan Sungai Berua (SKSB), Kuala Berang, hari ini, manakala 96 lagi mengikuti ibu bapa mereka berpindah sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, lebih daripada 150 Orang Asli di Sungai Berua itu berpindah sejak seminggu lalu kerana bimbangkan keselamatan mereka susulan kehadiran beberapa Orang Asli dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan ke kampung mereka.

Orang Asli dari Kuala Koh itu dikatakan datang ke Sungai Berua kerana meninggalkan kampung asal mereka yang diserang wabak demam campak sehingga menyebabkan 15 orang meninggal dunia setakat ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, hasil pemeriksaan kesihatan dilakukan, 13 murid terbabit bebas daripada cirit birit akut atau acute gastroenteritis (AGE).

Beliau berkata, seramai 12 guru diberi latihan bagi memastikan sesi persekolahan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Kita bersyukur kerana berdasarkan lawatan dilakukan, didapati sesi persekolahan dan pembelajaran berjalan seperti biasa.

“Semua murid yang hadir ke sekolah pada hari ini tidak mempunyai tanda dijangkiti penyakit AGE,” katanya ketika lawatan ke sekolah berkenaan, hari ini.

Minggu lalu, seorang daripada 23 Orang Asli dari Sungai Berua yang dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu, dikesan dijangkiti AGE.

Shafruddin berkata, JPNT akan sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan berharap tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Semua warga sekolah dan murid digalakkan memakai topeng hidung untuk langkah keselamatan, memberikan taklimat dalam perhimpunan mengenai kebersihan diri dan kawasan sekitar selain menasihati ibu bapa membabitkan penjagaan kesihatan di rumah.

“JPNT akan bekerjasama dengan klinik kesihatan terdekat selain menerima kunjungan doktor daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pada setiap masa.

“Pihak sekolah akan menganjurkan program pencerahan AGE melalui ceramah oleh pegawai perubatan daripada JKN," katanya.

Beliau berrkata, pihaknya akan memastikan semua murid ke sekolah seperti biasa.

Menurutnya, ketika ini, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dan JKN dalam proses memujuk mereka untuk pulang semula ke Sungai Berua bagi memastikan pendidikan anak tidak tercicir.

“Mengikut rekod, seramai 23 murid layak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah ini, tetapi hanya tujuh orang hadir ke kelas pada minggu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:53 PM