Muhammad Zaifulikram disahkan meninggal  di tempat  kejadian.
Muhammad Zaifulikram disahkan meninggal di tempat kejadian.

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kemalangan di Lebuh raya Persekutuan berhampiran Menara Telekom, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.55 pagi itu, mangsa yang juga anak anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Zulkifli Lee Abdullah, Muhammad Zaifulikram, 21, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku di lorong kiri iaitu menghala ke Petaling Jaya.

“Pemandu kenderaan 4WD model Mitsubishi Triton dikatakan melanggar belakang motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terjatuh.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Shafie berkata, berdasarkan ujian alkohol terhadap pemandu kenderaan 4WD berusia 33 tahun itu mendapati dia positif ujian berkenaan.

“Kenderaan terbabit dalam kemalangan ini dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

“Malah, keterangan daripada waris mangsa sudah diambil termasuk pemandu kenderaan 4WD berkenaan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan sebelum pemandunya melarikan diri dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian di Kajang, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, mangsa, Abdul Karim Abdul Jalil, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dilanggar kenderaan dari belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, pihaknya mengesan pemandu kenderaan itu bagi membantu siasatan.

“Di tempat kejadian, tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Justeru, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 10:39 AM