ORANG awam meihat mayat mangsa yang terbabit nahas di Jalan Kuching, semalam.
ORANG awam meihat mayat mangsa yang terbabit nahas di Jalan Kuching, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut digilis sebuah lori sejurus mangsa terjatuh dari motosikal ditunggangnya di Jalan Kuching di sini, semalam.

Nahas berlaku jam 9.40 pagi itu, mangsa, Yap Chong Mui, 41, menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Jalan Kuching sebelum susur keluar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian terjatuh sebelum sebuah lori menggilis kepalanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, saksi kejadian mendakwa mangsa beberapa kali cuba memintas lori sebelum terjatuh disebabkan hilang kawalan.

“Pemandu lori itu menyedari kejadian yang berlaku selepas tayar belakangnya melanggar sesuatu di atas jalan.

“Kemalangan mengakibatkan kesesakan lalu lintas, namun dikawal anggota polis di lokasi,” katanya.

Shafie berkata, mangsa disahkan maut akibat parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:16 AM