JOE bersama ahli keluarga selepas keputusan meringankan hukuman diumumkan.
JOE bersama ahli keluarga selepas keputusan meringankan hukuman diumumkan.
Aizat Sharif

Arau: “Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Sultan Selangor kerana meringankan hukuman saya dan saya seperti diberi nyawa kedua untuk meneruskan sisa hidup,” itu luahan kegembiraan seorang banduan bilik akhir yang hanya dikenali sebagai Joe selepas terlepas hukuman gantung sampai mati apabila hukumannya diringankan kepada penjara seumur hidup dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bekas anggota polis yang kini berusia 52 tahun itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak rayuannya pada 9 September 2009 kerana kesalahan membunuh seorang lelaki warga Pakistan pada 1996 di Selangor.

Selepas hukuman dijatuhkan, Joe berasa hayatnya berakhir dan hanya menanti hukuman dilaksana.

“Saya tidak menyangka mampu melihat lagi keluarga kerana pada mulanya berasa segala-galanya sudah berakhir dan hidup tiada erti lagi.

“Namun, dengan sokongan keluarga termasuk ibu serta adik-beradik, akhirnya rayuan saya selama berbelas tahun diperkenankan Tuanku dengan bantuan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya ditemui pada Program Meringankan Hukuman Banduan oleh kerajaan Selangor dan Jabatan Penjara di Pusat Koreksional Perlis (PKP), Mata Ayer, semalam.

Keputusan meringankan hukuman itu diumumkan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Inteligen Jabatan Penjara Datuk Jamaludin Saad disaksikan ibu Joe serta tiga adik-beradiknya termasuk anak saudaranya yang tiba dari Shah Alam.

Malah, suasana menjadi sayu apabila ibu Joe dan adik-beradiknya menitiskan air mata kegembiraan sebaik mendengar keputusan itu dan saling berpelukan sesama mereka apabila Joe melangkah masuk ke Dewan Mesyuarat PKP diiringi warden PKP.

“Ini hari paling bermakna bagi saya kerana masih bertemu dengan keluarga dan berjanji tidak mempersiakan peluang yang diberikan lagi,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Joe yang dikenali sebagai Jim, 49, menyifatkan pertemuan mereka sekeluarga bersama abang sulungnya itu terlalu bermakna kerana tidak pernah terfikir masih lagi berpeluang bertemu abangnya itu.

“Kami hanya dimaklumkan secara ringkas mengenai pertemuan ini oleh PKP empat hari lalu tetapi tidak diberitahu apa yang akan berlaku sehinggalah kami tiba di sini.

“Apabila dimaklum mengenai keputusan itu, saya sangat bersyukur kepada semua pihak yang banyak membantu terutama Sultan Selangor yang berkenan meringankan hukuman abang saya,” katanya.

Program itu dihadiri Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Munir Bani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mazlan Md Nor dan Pengarah PKP Shahhimin Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:15 AM