FAIZUL (enam dari kiri) bersama sebahagian adik-beradik yang tinggal bersamanya.
FAIZUL (enam dari kiri) bersama sebahagian adik-beradik yang tinggal bersamanya.
Mohammad Ishak


Jertih: “Saya menjadi ibu dan bapa kepada 11 adik-beradik lain selepas kami bergelar yatim piatu apabila ibu kami meninggal dunia tahun lalu manakala bapa pergi buat selama-lama tiga tahun lalu,” kata Faizul Mohd Radzali, 29, dari Kampung Tanjung Alir, dekat sini.

Faizul sebagai abang sulung kepada adik-beradik berkenaan tabah dan bersabar mencari rezeki untuk menanggung sara hidup sembilan daripada 11 adiknya berusia enam hingga 22 tahun agar dapat meneruskan persekolahan dan pengajian masing-masing.

Menurutnya, dia bertanggungjawab terhadap semua adiknya selepas ibu, Gayah Che Ahmad meninggal dunia akibat masalah kesihatan selepas Aidilfitri, Ogos tahun lalu.

Katanya, ayahnya meninggal dunia pada 2013 akibat komplikasi kencing manis dan beberapa masalah kesihatan lain.

“Daripada sembilan adik yang masih belajar itu, seorang belajar di prasekolah, dua orang di sekolah rendah dan tiga lagi di sekolah menengah.

“Dua adik saya kini belajar di Kolej Universiti Bestari, Setiu dan seorang lagi menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.

Menurutnya, dua adik perempuannya yang berusia 23 dan 26 tahun sudah berkahwin dan mengikut suami masing-masing.

Faizul berkata, dia bekerja sebagai tukang cat kereta yang diusahakan secara kecil-kecilan, selain ada menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, sebagai abang sulung, tanggungjawab kepada adik-beradiknya itu perlu digalas walaupun pada masa sama perlu menjadi suami kepada Nurain Jamil, 27, dan bapa kepada Aryyan Ibrahim Zikri, 11 bulan.

Bagaimanapun, dia gembira kerana isterinya turut berkongsi kesusahan dan prihatin dengan mengambil berat terhadap adik-beradiknya itu.

“Pada 1 Syawal lalu, isteri saya sanggup tidak pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur demi menguruskan adik-beradik saya di sini,” katanya.

Faizul berkata, pada hari biasa hanya tiga adiknya tinggal bersamanya iaitu Muhammad Irfan, 6, Muhammad Aizat, 9, dan Junaida, 11, sementara tiga yang belajar di sekolah menengah tinggal di Asrama PERKAYA dan pulang ke rumah dua minggu sekali.

“Alhamdulillah kami mendapat perhatian pelbagai pihak daripada masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan.

“Orang ramai sering menghulurkan sumbangan kepada kami adik-beradik dan dengan sumbangan itulah saya agihkan untuk keperluan adik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:39 AM