Abdul Jalil (tengah) bersama wartawan Kumpulan NSTP, semalam.
Abdul Jalil (tengah) bersama wartawan Kumpulan NSTP, semalam.

Kota Kinabalu: Akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) memenangi 17 hadiah termasuk empat hadiah utama pada Anugerah Kewartawanan Shell - Kinabalu, malam tadi.

Wartawan Harian Metro Mohd Razlan Salleh dan Junaidi Ladjana mendapat merit Anugerah Kewartawanan Bahasa Melayu.

Selain itu, Junaidi dan Norasikin Daineh masing-masing mendapat merit menerusi kategori Kewartawanan Bahasa Melayu, Laporan Berita dan Ekonomi.

BH memenangi empat hadiah utama menerusi Laporan Berita, Ekonomi dan Alam Sekitar serta Laporan Berita untuk Wartawan Sambilan.

Akhbar New Straits Times (NST) turut memenangi hadiah utama menerusi Bahasa Inggeris Anugerah Laporan Alam Sekitar.

Hadiah utama Anugerah Kewartawanan disampaikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, manakala hadiah utama kategori lain disampaikan Pengerusi Shell Malaysia
Datuk Iain Lo.

Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, Penasihat Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden SJA, Francis Fahir.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya gembira kerana media di negeri ini bertanggungjawab dalam mengetengahkan berita yang signifikan dan penting selain melaporkan keperluan dan rungutan rakyat.

“Media pada masa kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan mereka adalah tepat dan terperinci.

“Saya gembira kerana media di negeri ini amat bertanggungjawab dalam menulis mengenai pembangunan, kemajuan sosio-ekonomi dan masyarakat amat bergantung kepada anda (media) untuk laporan yang benar dan tepat,” katanya.

Musa merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kerjasama kukuh antara kerajaan negeri, Shell Malaysia dan Persatuan Wartawan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:31 AM