ABDUL Rani menunggang ETB ciptaannya.
ABDUL Rani menunggang ETB ciptaannya.
ABDUL Rani membuat pemeriksaan akhir pada ETB ciptaannya yang menggunakan bateri berkuasa 48 Volt.
ABDUL Rani membuat pemeriksaan akhir pada ETB ciptaannya yang menggunakan bateri berkuasa 48 Volt.
Zulfa Mohamad

Tasek Gelugor: Dulu dia digelar ‘Raja BMX’ kerana kemampuan mempamerkan pelbagai aksi atas basikal sebelum memanfaatkan bakat ala ‘McGyver’ dimiliki dengan menghasilkan Electric Trial Bike (ETB) menggunakan bateri yang pertama seumpamanya di negara ini. Abdul Rani Aziz, 47, dari Permatang Tok Jaya, dekat sini, mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan sebuah ETB berdasarkan reka bentuk sendiri selepas meneliti beberapa model ETB dalam internet.

Model sedia ada di Eropah ada yang menggunakan petrol sebagai bahan bakar serta bateri, tetapi belum ada ETB di negara ini yang menggunakan bateri sepenuhnya untuk berfungsi.

Abdul Rani yang mendapat pendidikan di sekolah menengah vokasional berkata, ETB adalah gabungan basikal serta motocross dan ia popular dalam kalangan anak muda di Eropah serta negara Barat terutama sukan lasak.

“ETB sedia ada di negara ini menggunakan petrol, tetapi saya mencipta ETB sendiri menggunakan ‘motobrushless’ iaitu sistem elektronik yang digerakkan oleh bateri 48 volt.

“Saya bermula dengan melakukan lakaran sebelum membuat kerangka serta ‘mono shock’ bermula Mac lalu dan siap sepenuhnya awal bulan ini manakala bahan digunakan diperoleh dari kedai barang lusuh serta kedai alat ganti,” katanya.

Dia kini sedang menyiapkan dua lagi ETB dengan setiap unit membabitkan kos antara RM2,000 hingga RM4,000 dan setiap unit memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan.

Katanya, kos ETB ciptaannya jauh lebih rendah berbanding harga pasaran kerana seseorang perlu membelanjakan kira-kira RM12,000 untuk membawa masuk basikal berkenaan memandangkan ia produk luar negara.

“Ia mirip motocross tetapi lebih kecil selain menggunakan bateri, sekali gus lebih menjimatkan kerana ia boleh dicas semula seperti bateri telefon bimbit,” katanya.

Abdul Rani pernah mencipta beberapa siri robot dinamakan Belalang Micro Rac serta robot mirip digunakan tentera Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:27 AM