AKSI pelumba merentasi lompatan empat bukit.
AKSI pelumba merentasi lompatan empat bukit.
GELAGAT pelumba cilik dalam kategori Push Bike bawah enam tahun.
GELAGAT pelumba cilik dalam kategori Push Bike bawah enam tahun.
PELUMBA melalui cabaran lereng bukit dan trek berbecak.
PELUMBA melalui cabaran lereng bukit dan trek berbecak.
PESERTA kali pertama menggunakan ‘Starting Gate’ Pro Start.
PESERTA kali pertama menggunakan ‘Starting Gate’ Pro Start.
AKSI peserta dalam kategori basikal Super-X (BSX).
AKSI peserta dalam kategori basikal Super-X (BSX).
Oleh Asrizal Aris


Mengimbau 1980-an pasti mengingati kehebatan basikal BMX yang sering menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja. Kerangka kelulinya yang kukuh, ringan dan kelihatan ‘sporty’ menjadikan basikal ini sangat popular.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, publisiti dan promosi mengenai sukan basikal lasak BMX makin berkurangan dan jarang mendapat perhatian dalam kalangan penganjur pertandingan basikal lasak.

Namun tidak bagi X-Camp Extreme Park yang menganjurkan pertandingan The Gate Bridge BMX di Sunway City Tambun, Perak, baru-baru ini. Program yang menampilkan trek ‘motocross’ yang menggunakan sistem pagar permulaan (starting gate) teknologi Perancis yang pertama digunakan di Asia itu disertai lebih 300 peserta untuk merebut gelaran juara bagi 14 kategori.

Biarpun cabaran trek sepanjang 200 meter itu bukan jarak yang sesuai untuk menguji kepantasan, rintangannya cukup bagi menduga kemahiran dan teknik peserta kerana rata-rata peserta ‘terkandas’ di pertengahan perlumbaan.

Ia terbukti apabila pelumba persendirian dari Puchong, Junaidi Syamsuar, 35, berkata, kejayaannya meraih tempat kedua kategori BMX lelaki terbuka adalah kali pertama sepanjang dia menyertai pertandingan basikal lasak.

Menurut Junaidi, dia tiba awal di trek beberapa hari sebelum perlumbaan untuk menguji cabaran sebenar trek itu dan beberapa kali terjatuh disebabkan gagal dalam pengawalan untuk lompatan dan mendarat.

“Halangan lompatan tiga bukit adalah paling mencabar. Ia mengukur tahap kemahiran peserta sama ada mahu melompat terus atau kekal mengayuh perlahan merentasi tiga bukit.

“Selain itu, laluan ‘S’ sebelum kayuhan pecut ke garisan penamat adalah cabaran yang perlu diambil berat. Kebanyakan peserta terjatuh di situ kerana gagal mengawal kelajuan ditambah pula trek berpasir yang licin,” katanya.

Katanya, sekiranya trek asal sepanjang 400 meter digunakan untuk pertandingan, perlumbaan pasti bertambah sengit dan benar-benar menguji tahap kemahiran pelumba.

Peserta dari Kelab Basikal SUKMA Terengganu, Nur Liyana Fazlien Shaare Sam, 15, berkata, trek yang ditampilkan dalam kejohanan itu nyata berbeza dengan trek lain yang pernah dilaluinya kerana ia memerlukan kekuatan mental yang kuat.

“Pada asalnya, saya adalah pelumba ‘motocross’ yang mula mengayuh basikal lasak awal tahun ini. Sepanjang mengayuh di trek, ini adalah trek pertama yang menampilkan cabaran berbukit panjang yang disusun berdekatan dengan bukit seterusnya.

“Ia benar-benar menguji mental kerana peserta perlu menyusun strategi awal disebabkan tiada peluang untuk kita berfikir panjang selepas membuat lompatan. Apabila mendarat, anda akan bertemu bukit seterusnya,” katanya yang menyertai kategori BMX wanita bawah 15 tahun.

Katanya, selain ‘fly’ dalam cabaran lompatan tiga bukit dan empat bukit, keadaan laluan di pertengahan trek yang berbecak juga antara ujian kepada peserta untuk bijak mengawal kelajuan.

Peserta Kelab Basikal Zimie Barber, Muhamad Saiful Nazmi Asmadi, 16, berkata, meskipun trek perlumbaan pendek, ia menguji kepekaan peserta bila masa untuk pecut dan masa untuk memperlahankan kelajuan.

“Perlumbaan di trek ini perlu keyakinan yang tinggi kerana apabila peserta tidak yakin, dia akan jatuh. Tidak semestinya peserta yang mengayuh laju akan menang, sebaliknya jika tidak peka dengan kelajuan, dia bakal hadapi masalah.

“Perlumbaan ini tidak menguji stamina peserta semata-mata, malah turut mengutamakan tahap kecerdasan minda dalam menyusun strategi selain menguji kemahiran teknikal dalam pengawalan basikal,” katanya.

Menurutnya, meskipun perlumbaan BMX di trek ‘motocross’ sangat berisiko, itulah identiti sebenar sukan basikal lasak BMX yang semakin kurang popular kebelakangan ini.

Sementara itu, pengurus acara X-Camp, Ronizam Ismail, 39, berkata, meskipun trek pertandingan yang baru siap tiga minggu itu masih dalam tempoh percubaan, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Katanya, dia menganggap penganjuran kali ini berjaya kerana mendapat sambutan hangat daripada kalangan pelumba seluruh negara yang tidak sabar-sabar mahu menggunakan ‘Starting Gate’ Pro Start yang pertama digunakan di Asia.

“Meskipun trek terpaksa dipendekkan kerana keadaan tanah lembut yang belum sempurna akibat hujan lebat baru-baru ini, cabaran berbukit tinggi dan laluan tebing tetap menguji kekuatan fizikal dan mental peserta.

“Cabaran lompatan tiga bukit dan laluan empat bukit antara yang memberi cabaran paling keras di mana pengawalan yang tidak stabil boleh menyebabkan peserta terjatuh. Bagaimanapun, faktor keselamatan diutamakan dengan mewajibkan peserta memakai kelengkapan keselamatan,” katanya.

Jelas Ronizam, perlumbaan basikal lasak BMX di luar negara semakin popular serta mendapat penyertaan daripada ribuan pelumba dan berharap dapat merealisasikannya di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:01 AM