Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 untuk musim haji 2017 berbanding hanya 22,230 jemaah yang dibenarkan sejak 2013.

Perkara itu disahkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh Bentan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam mesyuarat tahunan urusan haji di Jeddah, Rabu lalu.

Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan, pagi ini, memaklumkan Kerajaan Arab Saudi hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram.

Ini sebagai usaha mereka memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Jamil Khir Baharom), kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji yang amat dinantikan.

“Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan urusan berkaitan pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun.

"Antara perkara yang dibincangkan ialah peruntukan kuota tambahan bagi membantu memendekkan tempoh penggiliran haji," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 12:15 PM