SEORANG wanita berehat selepas tiba  di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), semalam.
SEORANG wanita berehat selepas tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), semalam.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Lebih tiga juta kenderaan dijangka membanjiri beberapa lebuh raya utama menuju ke ibu negara selepas menghabiskan cuti Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Penolong Jurutera Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Nur Hazira Razali berkata, aliran trafik membabitkan pengguna dari utara, selatan dan pantai timur tanah air itu mulai bergerak perlahan sejak jam 9 pagi semalam dan dijangka sesak hari ini sehingga tengah malam.

“Sehingga jam 2 petang tadi (semalam) kenderaan meningkat di tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan dijangka terus sibuk.

“Jumlah kenderaan yang masuk dari semua laluan berkenaan bertambah malam ini (malam tadi) dan sehingga tengah malam Ahad ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, di Lebuhraya PLUS bahagian utara, aliran trafik perlahan dari Permatang Pauh ke Prai, Juru ke Bandar Baru, Bukit Merah ke Berapit, Kuala Kangsar ke Terowong Menora dan Simpang Pulai sehingga Bidor.

Dari arah selatan ke ibu negara pula katanya, kenderaan perlahan dari Senai ke Sedenak serta Senawang hingga ke Seremban manakala Lebuhraya Pantai Timur menyaksikan trafik perlahan dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi dan Plaza Tol Gombak menuju Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi panduan trafik menerusi Jadual Cadangan Waktu Puncak Perjalanan (TTA) dan selain memastikan baki kad tambah nilai mencukupi bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk terutamanya di plaza tol,” katanya.

Pengguna boleh menghubungi talian Pusat Pengurusan Trafik LLM yang beroperasi 24 jam di talian 1800887752 atau layari laman sesawang www.llm.gov.my, Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Twitter llminfotrafik untuk sebarang bantuan dan maklumat perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:30 AM