PENIAGA di ibu kota mula menawarkan jualan pada harga menarik menjelang minggu terakhir puasa.
PENIAGA di ibu kota mula menawarkan jualan pada harga menarik menjelang minggu terakhir puasa.
HADIAH percuma ditawar untuk setiap pembelian di sebuah gerai di Jalan TAR.
HADIAH percuma ditawar untuk setiap pembelian di sebuah gerai di Jalan TAR.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Masuk minggu ketiga Ramadan, aktiviti jualan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India, di sini, dilihat semakin rancak apabila kebanyakan peniaga sudah mulai menawarkan harga lelong kepada pelanggan yang datang mengunjungi kedua-dua lokasi itu.

Tinjauan Harian Metro mendapati peniaga gerai kini berlumba-lumba menawarkan harga runtuh dan lelong kepada pelanggan untuk membeli kelengkapan raya lebih-lebih lagi di penghujung bulan puasa.

Seorang peniaga gerai Tengku Mirzan Tengku Ghazali, 21 berkata, bahang kemeriahan Aidilfitri sudah mula dirasai pada minggu ketiga Ramadan di mana orang ramai membanjiri Jalan TAR untuk membeli keperluan persiapan perayaan pada saat akhir.

“Semakin menghampiri hari raya, kebanyakan peniaga sudah mula menjual barangan mereka pada harga lelong kerana pada waktu ini dilihat semakin ramai warga kota akan datang membeli berbanding pada minggu pertama menyambut Ramadan.

“Pada masa ini, peniaga akan menawarkan harga runtuh dan lelong kepada pengguna untuk menghabiskan jualan sehingga malam raya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga, Habibah Jusri, 29 berkata, pada saat-saat akhir
ini peniaga akan berlumba-lumba meletakkan harga barangan dan pakaian dengan harga lelong lebih-lebih lagi pada malam raya.

“Ketika ini, pengunjung akan mula mengambil kesempatan untuk membeli barangan keperluan raya kerana harga yang ditawarkan pada awal dan akhir Ramadan sangat berbeza.

“Pada akhir Ramadan, peniaga akan menawarkan harga lelong untuk menghabiskan stok dengan cepat dan mahu menghabiskan semua jualan pada kadar segera,” katanya.

Menurutnya, peniaga di sini masing-masing menawarkan diskaun sehingga 60 peratus kepada pelanggan seperti sehelai baju Melayu yang pada mulanya ditawarkan pada harga RM168 kini boleh didapati pada harga RM100 saja.

“Bukan itu saja, sehelai samping juga saya tawarkan pada harga lelong RM60 berbanding harga asal RM120,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 4:58 AM