ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran reban ayam.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran reban ayam.
Iskandar Shah Mohamed


Bestari Jaya: Ribuan ayam di sebuah premis di Jalan Harmoni Ijok di sini, rentung selepas satu daripada dua reban ternakan haiwan itu terbakar, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, tindakan pantas bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa kilang berdekatan.

Difahamkan, lebih 10,000 ayam diternak di premis itu namun sebahagian daripadanya diselamatkan dan nilai sebenar kerugian masih disiasat.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan pemilik dan pekerja premis dikatakan sudah pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya Penolong Penguasa Bomba Sahidallah Osman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan awam dan tiba pada jam 11.45 malam.

“Sebanyak tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba Bestari Jaya, Batu Arang dan Kuala Selangor dengan bantuan sebuah jentera ‘water tanker’ dikerah memadamkan kebakaran premis itu.

“Setibanya di tempat kejadian, api marak memusnahkan sepenuhnya satu daripada reban ternakan itu dan kami berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 16 minit iaitu pada jam 12.01 tengah malam,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati semua ayam di reban itu rentung dan gagal diselamatkan.

“Kami bagaimanapun berjaya mengawal api daripada merebak ke reban bersebelahan walaupun ada daripada haiwan berkenaan turut mati.

“Jumlah sebenar ayam yang rentung tidak dapat dikenal pasti namun mencecah ribuan ekor,” katanya.

Kata Sahidallah, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:08 AM