KASUT pelbagai jenama yang dicuri berjaya dirampas semula.
KASUT pelbagai jenama yang dicuri berjaya dirampas semula.

Georgetown: ‘Hantu kasut’. Itu ungkapan sesuai buat dua lelaki yang dikesan mencuri pelbagai kasut berjenama sebelum dijual pada harga murah kepada pembeli.

Mereka yang juga rakan baik dikesan aktif mencuri kasut di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Selatan (SPS), dekat sini dan Kulim, Kedah sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatan jahat dua suspek berusia 20 dan 21 tahun itu akhirnya tumpas apabila mereka ditahan di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, dekat sini, jam 8.15 pagi kelmarin.

Menurut sumber, hasil siasatan lanjut suspek membawa polis ke rumah mereka dan pemeriksaan menemui 95 pasang kasut pelbagai jenama dan saiz yang dicuri serta disimpan dalam rumah berkenaan.

“Kita dapati ada 11 laporan berhubung kehilangan kasut berkenaan dibuat pemiliknya dan polis masih mengesan pemilik kasut lain yang mungkin tidak membuat laporan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengaku yang mereka memang mencuri semua kasut terbabit dan polis masih memburu beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai turut terbabit dan bersekongkol dalam aktiviti mencuri kasut berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, polis turut merampas dua enjin motosikal serta sebuah pam air yang dipercayai turut dicuri dua suspek berkenaan.

“Polis akan memanggil pemilik yang membuat laporan berhubung kehilangan kasut untuk membuat pengecaman barang mereka itu dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini, kedua-dua suspek terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian terbabit dan penahanan dua suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 11:17 AM