GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


POLIS memburu dua individu yang dipercayai bersengkongkol dalam kegiatan mencuri basikal mewah di sekitar daerah ini hingga mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Ia susulan daripada penangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun pada 21 Disember lalu yang memaklumkan terdapat suspek lain turut terbabit dalam kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang tidak bekerja itu ditahan di sebuah rumah di Butterworth selepas lima hari usaha memburunya dilaksanakan.

“Polis menerima laporan daripada mangsa menyatakan basikal milik anaknya yang diletakkan di hadapan rumah di Taman Bistari, Raja Uda didapati hilang.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki memakai topi keledar memanjat pintu pagar kediaman dan mengambil basikal itu lalu diserahkan kepada rakannya yang menunggu di luar sebelum kedua-dua mereka melarikan diri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 17 Disember dan lima hari kemudian sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) daerah ini menggempur sebuah rumah dan merampas sembilan buah basikal yang dipercayai dicuri suspek.

“Siasatan mendapati antara basikal yang dicuri suspek berharga sekitar RM20,000 dan dia sudah bergiat aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun lalu.

“Kini, polis sedang berusaha memburu dua lagi suspek dalam usaha menyelesaikan lebih banyak kes berhubung kecurian basikal di daerah ini,” katanya.

Jelasnya, kesemua kerugian yang dialami mangsa dalam kes kecurian basikal itu membabitkan nilai melebihi RM50,000.

“Modus operandi yang digunakan geng curi basikal ini adalah menunggang motosikal di sekitar kawasan perumahan sebelum bertindak mencuri.

“Apatah lagi, basikal ini pula ringan dan ia memudahkan suspek melakukan kegiatannya,” katanya.

Suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 3:18 PM