Antara tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret.
Antara tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang warga Filipina dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menggunakan tiga MyKad palsu bulan lalu, manakala 23 lagi warganegara itu dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu serta memiliki dokumen kepunyaan orang lain.

Norman Salam, 34, serta 15 lagi lelaki dan lapan wanita membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Selain Norman, mereka yang dihadapkan ke mahkamah adalah Najar Sahijan Indanan, Padzli, Rasul, Sarip Sergio, Totong Jamhali, Mohd Jan Jailani, Illal Pajeje, Haji Jabal, Sani Abdul Rahman, Boboy Ahmad, Sabdani Osban, James Abdul Salam, Basar Andas, Gabi Otong dan Monting Timbang.

Lapan wanita pula dikenali sebagai Elkis, Nurhaipa, Jasmia, Mardana, Arabia Bakri, Nasrah, Halimah dan Cherry Sajiron.

Antara 24 tertuduh yang berusia 25 tahun hingga 60 tahun itu, 17 daripada mereka didakwa menggunakan MyKad palsu manakala tujuh lagi didakwa memiliki MyKad milik orang lain.

Mereka yang dipercayai bekerja sebagai pekerja kilang dan pekerja kontrak itu ditahan dalam Op Terancang membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen serta Pasukan Gerakan Am (PGA) di beberapa rumah selain surau sekitar Masai dan Pasir Gudang, antara jam 1.30 pagi, 19 Mei dan jam 6 pagi, 20 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:31 AM