Husain menilai  hasil kreatif yang dihantar peserta peraduan.
Husain menilai hasil kreatif yang dihantar peserta peraduan.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai lapan pemenang mingguan Peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 1 Minggu 1, diumumkan, semalam.

Pemenang penyertaan paling kreatif membawa pulang RM1,000, seorang mendapat empat tiket ke Legoland bernilai RM900 manakala enam menerima wang tunai berjumlah RM500.

Hadiah RM1,000 dimenangi Khairu Rashid Mohamad dari Johor manakala Sulaiman Bagiman juga dari Johor membawa pulang empat tiket ke Legoland.

Pemenang RM500 ialah Muhammad Falihin Jasmi (Johor), Norhasliza Che Jusoh (Putrajaya), Nur Farhana Mohd Razaki (Kuala Lumpur), Norhanita Manaf (Selangor), Nadzri Mohd (Selangor) dan Intan Mat (Kuala Lumpur).

Pengarang Bersekutu (Rencana) HM Husain Jahit berkata, peraduan itu antara aktiviti sempena meraikan ulang tahun ke-25 HM dan ia ternyata mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pembaca.

Katanya, pihaknya menerima lebih 3,000 penyertaan sejak peraduan dilancarkan pada 25 April lalu pada minggu pertama saja.

“Peraduan ini terbahagi kepada tiga siri selama enam minggu. Pengumuman ini kumpulan pertama bagi Siri 1 yang ditutup pada 5 Jun depan.

“Bagi Siri 2 pula, peraduan bermula pada 11 Julai hingga 21 Ogos sebelum diakhiri Siri 3 pada 3 Oktober hingga 13 November. Pemenang diumumkan setiap minggu bermula minggu ini,” katanya selepas membuat pemilihan pemenang di Balai Berita NSTP, di sini semalam.

Selain Husain, pemilihan pemenang juga dibuat Ketua Unit Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) Wan Abdillah Wan Nawi dan Pengurus Besar Pemasaran NSTP Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Husain berkata, peraduan itu yang memasuki minggu ketiga bagi Siri 1 turut menawarkan hadiah utama bagi setiap siri.

“Pemenang utama Siri 1 membawa pulang sebuah MPV Peugeot 5008, manakala Siri 2, mereka yang bertuah menerima sebuah Naza Kia Optima dan sebuah Naza Kia Sportage bagi Siri 3,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:30 AM