KERETA dipandu seorang lelaki  jatuh dari tingkat dua tempat letak kereta Flat Mutiara Height, Georgetown.
KERETA dipandu seorang lelaki jatuh dari tingkat dua tempat letak kereta Flat Mutiara Height, Georgetown.
Hadzlihady Hassan


Georgetown: “Sejurus terdengar dentuman, saya lihat kereta jatuh dan terus berlari ke bilik pengawal keselamatan. Kereta itu pula betul-betul jatuh di tempat saya berdiri sebelum itu,” kata Noor Ismadi Ismai, 34, yang terselamat daripada menjadi mangsa dihempap kereta yang terjatuh daripada parkir tingkat dua Pangsapuri Mutiara Height, Jelutong, jam 7.15 petang semalam.

Noor Ismadi yang bekerja sebagai penyelenggara di pangsapuri berkenaan berkata, ketika kejadian, dia sedang berbual dengan dua rakan yang juga pengawal keselamatan di situ.

“Dua rakan berada dalam pondok pengawal keselamatan. Tiba-tiba saya terdengar dentuman dan terus menoleh ke atas sebelum mendapati sebuah kereta merempuh tembok parkir.

“Saya terus berlari masuk ke pondok pengawal keselamatan. Saya bersyukur kerana tindakan pantas ini menyelamatkan nyawa saya,” katanya.

Dalam kejadian itu, lelaki yang juga pemandu Chevrolet Optra berusia 42 tahun terselamat dan hanya cedera ringan selepas keretanya terjatuh dari tingkat dua parkir pangsapuri berkenaan.

Difahamkan, mangsa bersama isteri baru pulang dari tempat kerja dan isterinya terlebih dulu turun daripada kereta sejurus tiba di parkir itu.

Lelaki berkenaan kemudian mengundurkan kereta untuk memarkir namun dikatakan tertekan pedal minyak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dibawa ke hospital dan keadaannya stabil.

“Mangsa mengadu sakit dada dan badan, mungkin kerana tersepit ketika terjatuh. Kes masih dalam siasatan,” katanya.

Ini kejadian kedua di pangsapuri itu selepas kali pertama berlaku lapan tahun lalu di mana sebuah kereta terjatuh daripada tingkat lima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 10:25 AM