Georgetown: Seorang remaja perempuan yang mengalami masalah mental ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah selepas dipercayai terjun dari tingkat lapan sebuah pangsapuri di Bukit Jambul, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 malam, mangsa, Lee Wei Hsein, 18, ditemui di kawasan parkir pangsapuri berkenaan oleh orang ramai yang pada mulanya menyangkakan ada penduduk membuang sampah selepas terdengar dentuman kuat.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 21, berkata, dia bersama rakannya berada berhampiran sebuah gerai burger di luar pangsapuri berkenaan sebelum terdengar dentuman kuat.

“Saya sangka ada orang buang sampah, namun terkejut apabila mendapati mayat dalam keadaan tertiarap dengan keadaan berlumuran darah.

“Tidak lama kemudian ahli keluarga mangsa turun melihat keadaannya dan anggota polis tiba selepas itu,” katanya, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati mangsa maut selepas terjun dari tingkat lapan balkoni rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:35 AM