MAYAT mangsa (gambar kecil) dibawa ke HRPB untuk dibedah siasat.
MAYAT mangsa (gambar kecil) dibawa ke HRPB untuk dibedah siasat.
Nur Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Seorang tukang jahit ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam kedai jahit miliknya di Jalan Mohamad di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, Ling Choo Mooi, 59, ditemui seorang jiran berhampiran kedainya sebelum menghubungi talian kecemasan.

Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Faiq, 30, berkata, kali terakhir dia melihat mangsa beberapa jam sebelum kejadian ketika dia melalui jalan di depan kedainya yang berhampiran kedai jahit mangsa.

Menurutnya, ketika itu, dia dalam kedainya dan mangsa tidak menunjukkan kelakuan mencurigakan.

“Pemilik kedai bersebelahan kedai saya menemui titisan darah di depan kedai saya dan kami mengikut titisan darah itu sebelum menemui titisan darah di depan pintu kedai mangsa.

“Sebaik masuk ke dalam kedai, saya terkejut melihat mangsa tertiarap berlumuran darah dalam bilik menjahit. Saya cuba memanggil ‘auntie’ dua kali, namun mangsa tidak memberikan sebarang maklum balas sebelum segera keluar dari kedai dan menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia tidak mendengar sebarang bunyi bising dan tidak melihat individu mencurigakan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad berkata, mangsa dipercayai dibunuh dan motif kejadian masih belum diketahui.

Menurutnya, mangsa ditemui mati dengan kesan dikelar pada leher menggunakan senjata tajam.

“Sebelum kejadian, mangsa ada menghubungi rakan kongsinya meminta datang ke kedai dan ketika itu rakannya sedang berjoging.

“Selepas pulang dari berjoging dan membersihkan diri, rakannya ke kedai kira-kira jam 9.30 pagi dan mendapati kejadian sudah berlaku,” katanya.

Tengku Mohd Zailan berkata, siasatan mendapati kejadian bukan rompakan dan tiada kehilangan barang di kedai berkenaan.

“Kita percaya suspek seorang lelaki, namun senjata digunakan tidak ditemui di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:46 AM