MOHD Izhar (tengah) melihat temuduga secara dalam talian oleh pencari kerja di Minggu Kerjaya Johor 2020 di Geleria @ Kotaraya. FOTO Omar Ahmad
MOHD Izhar (tengah) melihat temuduga secara dalam talian oleh pencari kerja di Minggu Kerjaya Johor 2020 di Geleria @ Kotaraya. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Sebahagian besar pencari kerja yang hadir ke Minggu Kerjaya Johor 2020 membabitkan pencari kerja kali pertama serta individu yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor Saifuddin Abdul Rahim berkata, program itu menawarkan 1,120 kekosongan jawatan.

Katanya, berdasarkan pemantauan, sejak hari pertama Minggu Kerjaya Johor dianjurkan Ahad lalu, pencari kerja yang hadir ke sesi temuduga turut membabitkan individu yang kehilangan kerja akibat Covid-19.

"Golongan ini juga dinasihati supaya tidak berputus asa kerana masih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja khususnya dalam sektor tertentu seperti pembuatan.

"Peluang meningkatkan kemahiran buat golongan pencari kerja melalui kursus jangka masa pendek juga disediakan," katanya.

Beliau ditemui pada Minggu Kerjaya Johor 2020 di Galeria @ Kotaraya di sini, hari ini yang dihadiri lebih 1,000 pencari kerja seluruh negeri.

Minggu Kerjaya Johor kali ini diadakan secara serentak di UTC Johor Bahru, Kluang dan Muar.

Menurut beliau, pihaknya juga bekerjasama dengan institusi berdaftar untuk mengadakan kursus kemahiran jangka masa pendek seperti kimpalan.

"Kerajaan negeri turut komited membantu rakyat negeri ini dalam mendapatkan pekerjaan baharu dengan memberi elaun kepada peserta kursus," katanya.

Menurut Saifuddin, karnival yang julung kali dianjurkan tahun ini membabitkan 31 majikan.

Katanya, peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja pelbagai peringkat sama ada lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), diploma dan ijazah.

"Sambutan daripada masyarakat amat menggalakkan. Lebih 1,000 hadir temuduga yang diadakan mengikut norma baharu iaitu secara atas talian.

"Kita sediakan peralatan sesuai manakala majikan berada di pejabat masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:08 PM