Murni Wan Omar

Putrajaya: “Kriteria utama untuk menjadi seorang peguam syarie yang jujur dan berakhlak mulia adalah individu itu mempunyai akidah iaitu yakin sepenuh hati kepada Allah dan hukumnya,” kata Hakim Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusannya berhubung peguam bukan Islam yang mahu menjadi peguam di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, adalah penting untuk seorang peguam syarie dilantik daripada mereka yang beragama Islam dan boleh menjalankan tanggungjawab dengan penuh keyakinan terhadap kepercayaannya berdasarkan perspektif syariah.

Oleh itu katanya, peguam bukan Islam tidak boleh menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman majoriti 3-2 di Mahkamah Persekutuan di sini, semalam yang membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 21 Jun 2013, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa MAIWP bertindak di luar bidang kuasa apabila enggan memproses permohonan seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk menjadi peguam syarie.

Dengan keputusan panel lima hakim itu semalam, keputusan Mahkamah Rayuan itu diketepikan.

Turut bersidang, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Terdapat dua persoalan undang-undang yang dikemukakan di dalam kes ini iaitu sama ada Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 bercanggah atau tidak dengan Seksyen 59(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang 1993.

Persoalan kedua adalah sama ada Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi persoalan undang-undang pertama, keputusan mahkamah adalah berdasarkan majoriti 3-2.

Bagaimanapun bagi persoalan kedua, mahkamah dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 adalah tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, dalam penghakiman setebal 42 muka surat itu, Md Raus berkata, Seksyen 59(1) itu memang tidak memberikan hak eksklusif kepada individu untuk beramal sebagai peguam syarie, bagaimanapun ia tertakluk pada sekatan berdasarkan Seksyen 59(2).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 10:02 AM