Murni Wan Omar


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini memutuskan bahawa peguam bukan Islam tidak boleh menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, membuat keputusan itu melalui penghakiman majoriti 3-2 selepas membenarkan rayuan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam keputusan majoriti, mahkamah berpendapat Kaedah 10 dalam Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 yang memperuntukkan syarat dan kelayakan peguam syarie, iaitu mesti beragama Islam, tidak bercanggah Seksyen 59(1) Akta pentadbiran Undang-Undang Islam 1993.

MAIWP sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk beramal sebagai peguam syarie.

Turut bersidang adalah Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 1:24 PM