Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Langkah kerajaan menarik balik subsidi tepung gandum bagi pek 25 kilogram (kg) bermula kelmarin sangat tepat bagi mengelak ketirisan subsidi digunakan oleh peniaga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sudah mengkaji terlebih dulu sebelum penarikan subsidi itu dibuat malah, kajian mendapati pek 25 kilogram jarang dibeli oleh pengguna.

Beliau berkata, pengguna domestik kebiasaannya membeli pek satu kilogram untuk kegunaan isi rumah.

“Justeru, kami masih mengekalkan harga subsidi bagi tepung gandum pek satu kg,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad.

Katanya, pihaknya tidak menghalang pengilang tepung untuk mengeluarkan pek 25 kg; 50 kg atau 100 kg namun, kerajaan tetap memberi subsidi bagi pek satu kg untuk kegunaan pengguna domestik.

Hamzah berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemilik restoran mengenai penarikan subsidi itu malah, beliau juga mempersoal kenapa tepung subsidi itu turut dinikmati oleh peniaga sedangkan ia sepatutnya khusus untuk pengguna.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, kementerian mempertimbangkan untuk memperkenalkan dua jenis perkhidmatan bagi pelanggan di restoran iaitu layan diri dan menerima khidmat pelayan.

“Sebagai contoh, kalau di restoran itu ada 10 meja, mungkin dua meja diperuntukkan kepada mereka yang mahukan khidmat pelayan dan selebihnya layan diri.

“Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan maklum balas daripada pemilik restoran terlebih dulu,” katanya.

Mengenai PIGOS, Hamzah berkata, pusat itu menerima semua jenis aduan berkaitan isu kepenggunaan atau perdagangan domestik dan sejak beroperasi pada 15 Januari lalu, PIGOS sudah menerima lebih 3,000 aduan serta maklum balas daripada pengguna seluruh negara.

Pengguna boleh menghubungi PIGOS di talian bebas tol 1-800-886-800.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:24 AM