ASRAF (tiga dari kiri) dan  Ismail   (tiga dari kanan) bersama jawatankuasa UMNO Bahagian Pagoh berikrar   terus menyokong kepemimpinan  Muhyiddin.
ASRAF (tiga dari kiri) dan Ismail (tiga dari kanan) bersama jawatankuasa UMNO Bahagian Pagoh berikrar terus menyokong kepemimpinan Muhyiddin.

Muar: UMNO Bahagian Pagoh menolak keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti.

Setiausahanya Asraf Mokhtar berkata, mengikut Fasal 20 Perlembagaan parti, sesuatu keputusan hanya boleh dibuat selepas melalui beberapa prosedur dan saluran berperingkat.

“Malangnya, keputusan dibuat MT tidak mengikut prosedur yang jelas mengenepikan amalan demokrasi dalam parti sedangkan Muhyiddin dipilih sebagai Timbalan Presiden oleh ahli dari seluruh negara.

“Keputusan mereka bukan saja tidak demokrasi, malah mengkhianati ahli UMNO. Jadi kami menolak keputusan MT sehingga pemilihan parti akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Perkembar di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh Ismail Mohamed; Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh Senator Datuk Noriah Mahat dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Menurutnya, Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan, sebaliknya menjalankan tanggungjawabnya menegur presiden parti berkaitan hal berkepentingan awam.

“Muhyiddin hanya menegur presiden bagi mengukuhkan parti, bukannya untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:45 AM