Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Kalau kita merajuk, keluar parti dan menubuhkan parti (baru), tidak ada lagi saya lihat di atas semangat dendam kesumat menubuhkan parti dapat memerintah.

“Ini kerana Allah tidak akan bersama-sama dengan hamba-Nya yang mempunyai dendam kesumat. Kita kena muafakat,” kata Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin (gambar).

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan penubuhan sebuah parti politik baru seperti dimuat naik dalam status Facebook bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Dalam status itu, Muhyiddin melahirkan rasa syukur apabila mesyuarat penubuhan parti itu berlangsung dengan sempurna di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad, malam kelmarin dan akan menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti itu kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan dalam masa terdekat.

Badruddin berkata, beliau tidak yakin parti baru itu akan berjaya dan perkara berkenaan terbukti dalam sejarah politik negara ini.

“Kita menubuh parti atas semangat dendam kesumat, parti itu tidak akan berjaya. UMNO ditubuhkan atas asas perjuangan untuk menuntut kemerdekaan, mengisi kemerdekaan dan mempertahankan maruah negara kita,” katanya.

Beliau berkata, sebagai negara demokrasi, pihaknya tidak menghalang penubuhan parti itu, namun kecewa apabila bekas ahli UMNO sanggup menentang parti yang sebelum ini mereka junjung dan perjuangkan.

“Kita negara demokrasi, dia (Muhyiddin) dah dapat nikmat dalam perjuangan UMNO. Hari ini dia nak pi (pergi), pi lah.

“UMNO ini parti keramat yang berjuang dan banyak berjasa kepada negara kita, agama, bangsa dan tanah air.

“Kalau dia pi, dia biasa mendapat nikmat, kesenangan dalam UMNO, akhirnya dia menikam UMNO dari belakang, pergilah. Dia boleh merancang, Allah menentukan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji ke Tanah Suci di TH Hotel, Kelana Jaya, dekat sini, semalam.

Mengulas mengenai kemelut politik Terengganu, beliau menasihati pihak terbabit iaitu Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Seri Ahmad Said kembali bermuafakat bagi menyelesaikan masalah dalaman antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 9:27 AM