ABDUL Rahman melawat Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal, Bukit Tagar.
ABDUL Rahman melawat Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal, Bukit Tagar.

Hulu Selangor: Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion setiap tahun untuk menguruskan sisa pepejal di 161 tapak pelupusan sampah seluruh negara.

Jumlah itu bersamaan dengan perbelanjaan untuk membina dua universiti dalam masa tiga tahun.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, peruntukan mengendalikan sisa pepejal semakin meningkat setiap tahun berpunca daripada gaya hidup rakyat yang mengambil ringan kepentingan kitar semula, kurangkan dan guna semula (3R) dalam kehidupan seharian.

“Masalah ini boleh dikurangkan jika rakyat segera mengubah gaya hidup dengan mengamalkan 3R di kediaman dan tempat kerja.

“Kementerian sentiasa menganjurkan kempen kesedaran kepada semua pihak mengenai kepentingan 3R, namun nampaknya rakyat seolah-olah tidak menghargai usaha dan wang ringgit yang dikeluarkan untuk memastikan keselesaan semua pihak terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum melawat Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Bukit Tagar, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT Datuk Mohammad Mentek dan Pengarah Urusan KUB-Berjaya Enviro Sdn Bhd Ir. Chock Eng Teh.

Katanya lagi, kadar kitar semula sisa pepejal negara ini hanya mencapai 15 peratus sekali gus membuktikan tahap kesedaran rakyat masih rendah dalam menguruskan sampah secara cekap.

“Mengikut statistik, kadar aktiviti kitar semula sisa pepejal bagi negara Jerman adalah 62 peratus, Austria (68 peratus); Taiwan (60); Singapura (59) dan Korea Selatan (50).

“Manakala, bagi insinerator yang juga menelan kos lebih tinggi bagi menggantikan tapak pelupusan sanitari sisa pepejal, masih dalam proses tender sebelum diputuskan beroperasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 7:22 AM