PEMAIN dan pegawai FELDA Utd meraikan kejayaan kekal dalam Liga Super musim depan selepas membenam Kedah 5-1 di Jengka, malam ini. — FOTO BERNAMA
PEMAIN dan pegawai FELDA Utd meraikan kejayaan kekal dalam Liga Super musim depan selepas membenam Kedah 5-1 di Jengka, malam ini. — FOTO BERNAMA
BERNAMA

FELDA United terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas membelasah Kedah 5-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini sekali gus berjaya menduduki tempat ke-10 dengan 19 mata.

Tuan rumah bermula garang menerusi jaringan awal pemain import dari Brazil, Jocinei Schad pada minit keenam, sebelum Faiz Mazlan menggandakan jaringan pada minit ke-32.

Skuad Lang Merah kemudian cuba bangkit menerusi sepakan penalti Jonathan Bauman pada minit ke-78, namun FELDA meneruskan pesta gol menerusi Khairul Amri Kamal (m-85), Jazasrin Jamaludin (m-92) dan Kei Ikeda (m-93).

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pemain Kedah, Renan Da Silva Alves diarahkan keluar padang selepas mengasari Khairul Amri pada minit ke-75.

PKNP FC pula menduduki tempat ke-11 dengan 16 mata selepas tewas kepada pendatang baharu, PJ City 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada aksi terakhir liga musim ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang import dari Brazil, Washington Brandao pada minit ke-75, sekali gus menghantar balik PKNP ke saingan divisyen kedua selepas dua musim di Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:23 AM