MOHAMAD Zabidi (kiri) dan Azih pada Perhimpunan Penguatkuasaan Sektor Awam di CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur, semalam.
MOHAMAD Zabidi (kiri) dan Azih pada Perhimpunan Penguatkuasaan Sektor Awam di CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Penjawat awam khususnya anggota penguat kuasa tidak boleh berkompromi dalam aspek integriti dan ia sewajarnya menjadi keutamaan dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan penjawat awam yang melanggar undang-undang kerana ia menjejaskan integriti dan nama baik kerajaan secara keseluruhan.

Katanya, banyak paparan oleh media tempatan mengenai salah laku penjawat awam dan ia seharusnya dijadikan iktibar oleh anggota penguat kuasa.

“Apabila kita menyentuh mengenai isu integriti dalam kalangan anggota penguat kuasa, ia pasti akan membabitkan isu persepsi orang ramai.

“Ini kerana orang ramai masih mengaitkan anggota penguat kuasa dengan amalan tidak sihat.

“Persepsi buruk seperti itu harus ditangani bersama kerana apa yang berlaku di peringkat bawah akan berkait sama dengan pengurusan atasan terutama pemimpin negara,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penguatkuasaan Sektor Awam di dewan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda.

Sementara itu, Mohamad Zabidi turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak mempercayai bulat-bulat khabar angin atau viral membabitkan urusan kementerian serta kerajaan yang disebarkan di media sosial.

Katanya, selagi tiada Surat Pekeliling berkenaan isu itu dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), perkara yang diviralkan itu adalah tidak benar sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 8:21 AM