SEBAHAGIAN lori yang mengangkut bauksit di Pelabuhan Kuantan ‘diparkir’ di bahu jalan.
SEBAHAGIAN lori yang mengangkut bauksit di Pelabuhan Kuantan ‘diparkir’ di bahu jalan.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) menafikan fenomena ‘laut merah’ di Pantai Batu Balok dan Pantai Batu Hitam, dekat sini, pada minggu lalu, berpunca daripada sisa bauksit dari tapak simpanan (stockpile) mineral itu di Pelabuhan Kuantan.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Khasbullah A Kadir berkata, ini kerana sisa bauksit di pelabuhan itu akan melalui beberapa siri sistem tapisan sebelum dilepaskan ke Sungai Pengorak.

Pada masa sama, katanya, Sungai Pengorak tidak bercantum dengan Sungai Balok dan Sungai Tunggak, dua sungai yang terletak berhampiran Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam.

“Malah, lokasi Sungai Pengorak adalah jauh dari kedua-dua pantai berkenaan.

“Sehubungan itu, laporan yang mengaitkan fenomena laut merah dengan sisa bauksit di Pelabuhan Kuantan tidak tepat dan mengelirukan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas dakwaan bahawa ‘stockpile’ di Pelabuhan Kuantan menjadi punca kepada fenomena laut merah di Pantai Batu Balok dan Pantai Batu Hitam pada 29 Disember lalu.

Khasbullah berkata, KPC sebagai operator Pelabuhan Kuantan sudah mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah pencemaran sisa bauksit di pelabuhan itu.

Katanya, ini termasuk memastikan setiap kawasan stockpile memiliki ‘longkang perimeter’ supaya sisa bauksit tidak mengalir ke longkang utama dan terus ke laut.

“Sebaliknya, sisa bauksit ini disalurkan ke kolam pengumpulan sebelum melalui beberapa siri tapisan dan dari sini, air yang sudah ditapis akan memasuki Sungai Pengorak dan seterusnya ke laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:26 AM