Vigneswari (dua dari kanan) bersama penerima lain anugerah di Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) siri 44/2015 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Vigneswari (dua dari kanan) bersama penerima lain anugerah di Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) siri 44/2015 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala lumpur: “Ini kebanggaan dan pencapaian tertinggi pernah saya terima,” kata Mejar V Vigneswari, 36, yang menerima anugerah peserta terbaik kursus Tempatan Keseluruhan pada Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) siri 44/2015, di sini, semalam.

Menurutnya, pelbagai rintangan dan dugaan ditempuhinya sepanjang tempoh mengikuti kursus itu.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi berkerja lebih tekun dan memartabatkan profesion ketenteraan serta memikul tanggungjawab lebih besar,” katanya.

Dia yang berkhidmat di Kor Risikan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara 164 peserta yang menyertai kursus membabitkan Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pegawai tentera dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Antara peserta negara lain yang menyertai kursus itu dari Australia, Bangladesh, Bosnia Herzegovina, Kemboja, China, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Jordan, Korea, Laos, Lubnan, Myanmar, Nepal, New Zealand, Oman, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Sri Lanka, Sudan, Thailand, Timor Leste, Uganda, Vietnam, Yaman dan Zimbabwe.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Abdul Rahim Mohamed Radzi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima TUDM Tan Sri Roslan Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:13 AM