(Dari kiri) Ahmad Hasbullah, Affendi dan Mohd Reza. Foto Arkib NSTP
(Dari kiri) Ahmad Hasbullah, Affendi dan Mohd Reza. Foto Arkib NSTP
BERNAMA

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan diterajui oleh panglima yang baharu pada 2020 apabila panglima yang ke-20 sekarang Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin akan bersara tidak lama lagi.

Persoalannnya sekarang ialah siapa yang bakal dilantik sebagai Panglima ATM Ke-21, adakah daripada Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berdasarkan rekod, jawatan Panglima ATM diisi oleh pegawai tertinggi daripada Tentera Darat sejak 2011 dan kali terakhir jawatan itu diisi oleh TUDM ialah pada 2009 menerusi Tan Sri Azizan Ariffin manakala TLDM pada 2005 menerusi Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Pelantikan jawatan nombor satu ATM ditentukan menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Panglima TD sekarang ialah Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawi manakala Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima TUDM Tan Sri Affendi Buang.

Affendi, 57, sudah berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Disember 2016 manakala Ahmad Hasbullah, 58, dilantik sebagai Panglima TD pada 3 September 2018 dan Mohd Reza, 56, dilantik Panglima TLDM pada 30 November 2018.

Difahamkan, tanda tanya siapa yang bakal dilantik menjadi Panglima ATM yang baharu itu akan terjawab pada satu majlis yang dijadual pada 2 Januari nanti.

Sementara itu, Zulkifli, 61, anak kelahiran Port Weld, Perak dilantik sebagai Panglima ATM Ke-20 pada 20 Jun 2018 menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Pada 26 Disember lalu Zulkifli mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman sempena persaraannya itu.

Satu majlis makan malam rejimental penghargaan sudah diadakan pada 18 Disember lalu sebagai tanda penghargaan ATM kepada Zulkifli atas perkhidmatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 11:07 AM