SEBAHAGIAN suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan keganasan.
SEBAHAGIAN suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan keganasan.
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Tergamak membunuh ahli keluarga sendiri sekiranya mereka didapati menentang perjuangan kumpulan pengganas ‘Imam Mahdi’.

Itu antara ideologi dipegang dua lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun yang berjaya diberkas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor antara 9 hingga 13 November lalu.

Suspek yang bekerja sebagai penjual air soya disyaki cuba melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, salah seorang suspek berusia 30 tahun itu pernah ditahan di Karachi, Pakistan pada 2003 dan difahamkan pernah menganggotai kumpulan Sel Al Ghuraba, Jemaah Islamiah.

Menurutnya, polis masih memburu saki baki kumpulan itu dan mereka dikesan berinteraksi menggunakan laman sosial Facebook (FB).

“Pihak polis turut berjaya menahan tiga individu membabitkan seorang warga Indonesia yang disyaki menyertai dua kumpulan pengganas Militan Islam (IS) dalam operasi sama berkenaan.

“Salah seorang suspek yang ditahan di Johor berusia 22 tahun bekerja sebagai penyelia kantin farmasi kementerian Kesihatan Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. Lelaki itu dikesan merancang berlepas ke Syiria bagi menyertai kumpulan pengganas IS,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi suspek warganegara Indonesia bekerja sebagai pembantu kantin di farmasi sama.

“Kedua-dua mereka sebelum ini pernah ditangkap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Khalid berkata, suspek kelima ditahan berusia 40 tahun dan dikenal pasti sebagai bekas pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Lelaki itu bersara secara sukarela pada Ogos 2015. Suspek pernah ditahan pihak berkuasa Turki bersama etnik Uighur, Morrocco dan Russia sebelum diusir balik ke Malaysia 25 Oktober lalu.

“Suspek ditahan mengikut Bab VIA- Kesalahan Berkaitan Keganasan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:12 AM