Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini mulai 18 hingga 22 November ini mencatat sejarah apabila dua dokumen utama bakal ditandatangani 10 ketua negara blok berkenaan.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Datuk Shahrul Ikram berkata, dokumen terbabit ialah Deklarasi Kuala Lumpur Penubuhan Komuniti ASEAN dan Deklarasi Kuala Lumpur Berkaitan ASEAN 2025.

Beliau berkata, negara serantau itu dijangka mengiktiraf penubuhan Komuniti ASEAN hasil kerjasama blok selama lima dekad.

“Bagi ASEAN 2025 dengan tema Maju Bersama, ia carta perancangan bagi ASEAN Komuniti dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Dokumen ini inspirasi penting dalam usaha menangani cabaran mengurangkan jurang antara negara anggota,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat berkaitan sidang kemuncak berkenaan kepada barisan pengarang kanan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shahrul berkata, isu pergolakan maritim di Laut China Selatan dijangka menjadi tumpuan utama pada sidang kemuncak berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan isu berkenaan bakal menghangatkan persidangan memandangkan ia menghimpunkan semua pihak berkepentingan khususnya China dan Amerika Syarikat (AS).

“Kita membuka ruang luas kepada semua anggota ASEAN dan rakan dialog untuk berbincang apa juga isu antarabangsa dan konflik termasuk di Laut China Selatan yang dijangka menjadi tumpuan,” katanya.

Ditanya sama ada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dibincangkan, beliau berkata, kemungkinan ia disentuh secara tidak langsung saja berikutan ada dalam kalangan negara ASEAN tidak terbabit dengan perjanjian berkenaan.

Dalam pada itu, Shahrul berkata, seramai 3,000 peserta menghadiri persidangan itu.

Katanya, seramai 1,600 pengamal media tempatan dan asing bakal membuat liputan manakala selebihnya pegawai termasuk ketua kerajaan.

Beliau berkata, antara ketua kerajaan dijadualkan hadir ialah Presiden AS Barack Obama, Perdana Menteri China Li Keqiang, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Russia Dmitry Medvedev selain pucuk pimpinan 10 negara anggota ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:12 AM