ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah mangsa.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah mangsa.
Oleh Mohamed Sahidi Yusof

Tanah Merah: Seorang suri rumah nekad menyelesaikan solat Zuhur sebelum menyelamatkan diri apabila rumahnya di Kampung Padang Bongor Bukit Merah, di sini, musnah dalam kebakaran akibat disambar petir, semalam.

Kejadian jam 2.15 petang bermula dengan bunyi dentuman petir dan ribut disusuli hujan lebat.

Mangsa, Yam Hassan, 54, berkata, ketika itu dia berada di dalam bilik dan sedang sembahyang Zuhur pada rakaat kedua.

“Walaupun bunyi kuat dan menakutkan, namun saya nekad meneruskan sembahyang walaupun merasai bahang kepanasan di telinga. Ketika itu kipas juga sudah tidak berfungsi dan menyangka bekalan elektrik terputus akibat dentuman kilat itu.

“Selepas menanggalkan telekung dan beredar keluar dari bilik solat, saya mendapati kepulan asap tebal memenuhi bahagian dapur dan ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, terkejut dengan keadaan itu, dia bergegas berlari keluar rumah dan meminta pertolongan daripada jiran. Pada masa sama dia melihat api semakin marak di atas bumbung rumahnya.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dokumen penting kerana hanya tinggal seorang diri di rumah manakala suami keluar membeli keperluan harian di kedai berdekatan.

“Pada masa itu, saya hanya memikirkan keselamatan diri kerana keadaan api merebak terlalu cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Hanaffi Mohd berkata, empat anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.30 petang.

“Kebakaran rumah papan itu berjaya dikawal daripada merebak walaupun tekanan air rendah. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 9:07 AM