NAJIB membentangkan Bajet 2016 di Parlimen, semalam.
NAJIB membentangkan Bajet 2016 di Parlimen, semalam.

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan kerajaan pimpinan beliau akan tetap meneruskan perancangan ekonomi negara dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat biarpun berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan rekod pencapaian yang cemerlang selama puluhan tahun memikul mandat dan menggalas kepercayaan, rakyat diminta tidak bimbang dan gundah, sebaliknya perlu terus meletakkan keyakinan dan mempertaruhkan harapan kepada kerajaan demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan mereka.

“Bajet 2016 adalah bajet pertama dalam rantaian lima bajet dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) sehingga Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya ketika membentangkan Bajet 2016 yang bertemakan Mensejahtera Kehidupan Rakyat di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Katanya, enam pencapaian utama menjadi penanda kejayaan yang boleh dibanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara dari mana ia berada pada separuh dekad yang lalu, tidak seperti yang dilaporkan kononnya negara ini diambang muflis, berada dalam krisis ekonomi dan nilai ringgit terjejas teruk berikutan persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara dan tatacara perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah.

Perdana Menteri berkata, pencapaian pertama ialah ekonomi semasa negara mampu berkembang 5.3 peratus bagi separuh pertama 2015 dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun meskipun ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.

Menurutnya, pencapaian kedua ialah kerajaan secara konsisten berjaya mengurangkan defisit fiskal kerajaan daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus pada tahun ini manakala pencapaian ketiga ialah melalui Dasar Transformasi Nasional yang bermula pada 2010 iaitu meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.

Katanya, pencapaian keempat ialah pengurangan statistik pengangguran daripada 3.4 peratus pada 1999 kepada 2.9 peratus selain kerajaan berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan manakala pencapaian kelima ialah seramai lima juta rakyat di kawasan luar bandar berjaya mendapat manfaat kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih.

Beliau berkata, pencapaian keenam dan terakhir ialah rakyat berjaya mendapat pelbagai kemudahan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar, Pusat Transformasi Luar Bandar dan Kedai Rakyat 1Malaysia bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, pencapaian lain ialah kemasukan pelaburan asing terus kukuh dengan jumlah RM22.4 bilion pada separuh pertama tahun ini manakala indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata atau bersamaan nilai pasaran RM1.675 trilion pada penutup urus niaga, kelmarin.

“Ini menunjukkan realitinya Malaysia negara kita ini bukan negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil, masih kukuh dengan asas ekonomi yang terus berdaya saing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 6:47 AM