ANTARA ahli Kelab Ekspedisi Hospital Kota Tinggi (HKT) yang mendaki Gunung Angsi.
ANTARA ahli Kelab Ekspedisi Hospital Kota Tinggi (HKT) yang mendaki Gunung Angsi.

Seremban: Seramai 30 pendaki dari Kelab XPDC dan Rekreasi Hospital Kota Tinggi (HKT), Johor berjaya mencapai matlamat untuk menamatkan cabaran mendaki Gunung Angsi, dekat sini, kelmarin.

Ketuanya Md Ramlee Harun berkata, pendakian ke gunung berkenaan mengambil masa lebih tiga jam dan menyaksikan peserta berdepan pelbagai cabaran termasuk melalui curam dan laluan licin.

“Peringkat awal pendakian nampak mudah, tetapi apabila sampai di pertengahan, keadaan semakin sukar dan curam. Kami terpaksa menggunakan bantuan tali untuk naik dan akhirnya tiba di puncaknya.

“Banyak cabaran dilalui ketika mendaki, namun itu yang menyeronokkan peserta. Aktiviti seperti ini amat baik untuk mengekalkan kecergasan kakitangan HKT disamping dapat merehatkan minda sambil menikmati keindahan panorama dari atas gunung yang amat popular di kalangan pendaki di negara kita.

“Gunung Angsi adalah aktiviti ketiga kelab tahun ini dan kami mengambil masa tiga jam setengah untuk sampai ke puncak. Kami dapat melihat kebesaran Ilahi dengan pemandangan hijau serta menyegarkan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Seorang peserta, Mardiana Othman, 40, berkata, Gunung Angsi adalah antara lokasi pendakian mencabar serta sesuai untuk semua pendaki.

“Kami gembira dan berharap berpeluang untuk datang ke sini pada masa akan datang. Cabaran kami lalui sepanjang pendakian menjadi pengalaman menarik.

“Saya percaya kawasan ini lebih popular kepada pendaki sebelum pergi ke gunung lain yang lebih mencabar. Kerajaan negeri juga pastinya akan menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelancong dalam dan luar negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:09 AM