Kuala Lumpur: Hanya 14 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 malam tadi dengan Langkawi, Kedah merekodkan bacaan tertinggi iaitu 158.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Pasir Gudang (118), Kuala Selangor (117), Pelabuhan Klang (116), Shah Alam (107) dan Banting (103).

IPU tidak sihat direkodkan di beberapa kawasan lain di utara seperti Universiti Sains Malaysia (USM) (101), Kangar (113), Alor Setar (105) dan Seri Manjung (106).

Empat kawasan lain turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Larkin Lama (108), Port Dickson (103) serta Bandar raya Melaka dan Bukit Rambai masing-masing 108.

Manakala di Putrajaya, Batu Muda dan Cheras, Kuala Lumpur kualiti udara yang direkodkan pada tahap sederhana iaitu kurang daripada 100.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya berkata, keadaan berjerebu tebal yang dialami negara sekarang dijangka berkurangan untuk tempoh sehingga 11 Oktober depan.

Katanya, ribut tropika Mujigae kini mula memasuki kawasan daratan dan berada dalam lingkungan 500 kilometer ke arah Barat Guangzhou, China.

“Kehadiran ribut Mujigae di rantau negara ini mempengaruhi tiupan angin di mana ia menjadi lemah dan bertiup dari pelbagai hala.

“Selain itu, ribut itu menyebabkan cuaca di seluruh negara dijangka lebih lembap dengan hujan dan ribut petir boleh berlaku di satu dua tempat di seluruh negara pada sebelah petang dan senja.

“Namun keadaan itu mungkin berubah jika ada ribut tropika yang baru terbentuk,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan Pusat Khas Meteorologikal ASEAN (ASMC) di Singapura semalam, imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Iklim Lautan Kebangsaan (NOAA) 18 mengesan dua titik panas di Kalimantan dan 59 lagi di Sumatera, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:16 AM