Nik Ahmad Azlan di depan papan tanda syarikat di Bukit Baru, Melaka.
Nik Ahmad Azlan di depan papan tanda syarikat di Bukit Baru, Melaka.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Arus globalisasi masa kini banyak memberi impak kepada negara baik daripada segi politik, ekonomi mahupun sosial, membuatkan kehidupan setiap lapisan masyarakat lebih mencabar.

Tidak ketinggalan mereka yang terbabit dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Justeru, Kongsimakan Berhad (Kongsimakan) membangunkan Program Pembangunan Usahawan Kongsimakan bagi melahirkan usahawan Bumiputera yang produktif dan berdikari.

Ketua Pegawai Operasi Kongsimakan Datuk Nik Ahmad Azlan Nik Mud berkata, menerusi program itu, peserta diserapkan ke dalam modul pembangunan dan dipantau secara berkala membabitkan aspek pengurusan, operasi, kewangan, pemasaran dan penjenamaan.

“Kami memilih usahawan dikenal pasti dan disenarai pendek seramai 10 orang di setiap negeri. Kemudian mereka dibentuk mengikut acuan direka Kongsimakan membabitkan aspek pembangunan, pemantauan dan pengiktirafan,” katanya.

Katanya, ahli bertindak sebagai jurucakap syarikat, manakala Kongsimakan pula melaksanakan program, lawatan serta seminar yang berperanan menggerakkan ahlinya.

Menurutnya, platform diwujudkan Kongsimakan membuka peluang kepada pengusaha dalam penghasilan produk tempatan untuk memasarkan produk mereka.

“Peluang ini tidak terhad kepada produk kesihatan dan kecantikan sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua produk keperluan harian termasuk produk inovatif yang dikenal pasti berkualiti dan berdaya maju.

“Program ini menyasarkan usahawan kecil atau pengusaha dari rumah yang mempunyai produk dengan nilai komersial untuk diketengahkan,” katanya sambil menambah usahawan desa seperti ibu tunggal dan belia yang menghasilkan produk sendiri di rumah digalakkan menyertai program itu.

Beliau berkata, usahawan kecil yang dikenal pasti menyertai Program Pembangunan Usahawan Kongsimakan itu akan melalui proses temu duga dan lawatan tapak.

Antara kriteria peserta program yang dititik beratkan adalah komitmen, pengalaman, jenis serta nilai komersial yang ada pada produk usahawan terbabit.

Bagi usahawan terpilih, produk mereka akan melalui peringkat pembangunan, penambahbaikan serta penjenamaan semula produk.

“Selain khidmat nasihat dan bantuan kepakaran, Kongsimakan akan bekerja untuk usahawan ini dengan membuat kempen mahupun promosi bagi membolehkan produk disebar luas dalam kalangan ahli.

“Kami melihat usahawan kecil ini dinaik taraf kepada pembukaan kilang atau membuka pusat IKS yang membolehkan mereka meneroka pasaran domestik di luar platform Kongsimakan sendiri,” katanya.

Orang ramai berminat boleh hubungi Pengurus Pembangunan Perniagaan Kongsimakan Berhad, Tuan Mohd Norfaisal Shariff di talian 018-7774435 atau 011-5290775.

Mereka juga boleh ke pejabat perniagaan Kongsimakan Berhad di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru, Melaka atau layari www.kongsimakan.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:11 AM