AB Aziz  (kanan) dan Mohamad Nasriff melihat hasil kraftangan untuk dipasarkan di Kala Sentral, Kota Bharu.
AB Aziz (kanan) dan Mohamad Nasriff melihat hasil kraftangan untuk dipasarkan di Kala Sentral, Kota Bharu.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyasarkan lebih 1,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Kelantan untuk memasarkan produk mereka di Kala Sentral di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, di peringkat awal, terdapat lebih 200 usahawan tempatan di negeri ini yang sudah memasarkan produk jualan mereka di situ.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 756 produk berasaskan kraftangan, pakaian, cenderamata, minuman serta makanan secara runcit dan borong terdapat di Kala Sentral.

Ia dipromosikan secara fizikal dan maya.

"Selain itu, usahawan kecil terutama yang berstatus mikro akan mendapat manfaat kerana akan dibantu dalam memasarkan produk.

"Saya menjangkakan, usahawan yang memasarkan produk keluaran mereka di Kala Sentral mampu meningkatkan pendapatan sehingga 50 peratus," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembukaan Kala Sentral di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Bahagian Perancangan Dan Pembangunan, Mohamad Nasriff Daud.

Ab Aziz berkata, Kala Sentral berperanan sebagai pemacu kepada sebahagian besar untuk terus membantu dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

"Dalam masa sama, dengan kewujudan Kala Sentral ini, ia juga dapat memperkasakan usahawan Bumiputera terutama dalam bidang pembuatan serta pengeluaran produk halal.

"Selain itu, ia dapat membantu usahawan yang kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula selepas terjejas akibat Covid-19.

"Kala Sentral sebagai penggalak dalam usaha menyokong pemulihan PMKS serta galakan untuk meneruskan agenda transformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai perancangan sudah dirangka sebagai langkah bagi membantu sektor perniagaan kecil.

Beliau berkata, langkah yang diambil adalah berasaskan analisis serta tinjauan masalah sektor PMKS.

"Dalam masa sama, PKINK akan membantu usahawan meningkatkan lagi kualiti produk dari segi pembungkusan, penjenamaan, dan pemasaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan menghubungkan mereka dengan badan-badan atau agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:00 AM