MAHDZIR menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Perintis Usanita di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL. FOTO Eizairi Shamsudin
MAHDZIR menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Perintis Usanita di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL. FOTO Eizairi Shamsudin
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited memperkasa usahawan luar bandar memulihkan perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan luar bandar khususnya dalam aspek pemasaran produk secara dalam talian yang kini menjadi saluran yang begitu berkesan.

Katanya, usahawan di luar bandar juga perlu mengambil peluang pemasaran secara digital dan tidak boleh ketinggalan dalam meluaskan pasaran produk mereka.

"Usaha KPLB sentiasa berterusan dan sebelum ini kementerian sudah memperkenalkan program DesaMall@KPLB bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara online.

"Inisiatif ini adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar membangun produk dan memperluas pasaran termasuk pemasaran perniagaan dalam talian.

"Penjenamaan amat penting untuk membina nilai percaya pembeli terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan, kadang kala orang membeli bukan kerana faktor jenama semata-mata, tetapi kerana mereka ingin mengguna dan memerlukan produk itu.

"Jadi di sinilah pentingnya penjenamaan dan pendigitalan produk usahawan walaupun mereka berada di luar bandar tetapi jualan produknya menembusi pasaran satu dunia," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Usanita (Penjenaaman dan Pendigitalan bersama KPLB) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri 1 KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun.

Mahdzir berkata, dalam fasa pemulihan kesan pandemik Covid-19, sudah tiba masanya usahawan luar bandar bangkit semula dengan memperkasa penjenamaan dan pendigitalan produk keluaran mereka sekali gus memulihkan ekonomi serta pendapatan mereka.

Menerusi program Usanita itu seramai 50 usahawan wanita luar bandar daripada kategori B40 dan M40 akan dipilih untuk dibimbing pembangunan produk mereka.

Lebih menarik program itu pertama kalinya menampilkan selebriti, Datuk Rosyam Nor sebagai duta produk yang akan dihasilkan bagi membantu memudahkan pengembangan produk usahawan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan program boleh melayari www.usanita.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:36 PM