ABDUL Rahim bersama adik Mohd Uzair memeriksa perbarisan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal.
ABDUL Rahim bersama adik Mohd Uzair memeriksa perbarisan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal.
Oleh Shamsul Munir Safini

Nibong Tebal: “Tiada lebih menggembirakan saya selain mampu memenuhi hasrat anak,” kata Mohd Noor Azlan Ahmad selepas memenuhi impian anak ketiganya, Mohd Uzair Amzar, 5, yang menghidap leukemia menjadi seorang anggota polis.

Mohd Noor Azlan, 46, berkata, anaknya yang sudah dua tahun menghidap leukemia teruja selepas ditemani Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi merasai pengalaman menjadi anggota polis menerusi Majlis ‘Sehari dalam Kehidupan Seorang Anggota Polis’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPDSPS) di sini, semalam.

“Dia sememangnya berminat dengan kerjaya itu dan sering teruja menonton drama polis atau terlihat kenderaan polis di jalan raya,” katanya.

Mohd Noor Azlan berkata, dia menyuarakan hasrat itu kepada seorang pegawai polis sebelum menulis surat rasmi yang mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Walaupun hanya sehari, Tuhan saja yang tahu perasaan saya selepas mendapat tahu keinginan anak mahu bergelar anggota polis mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selepas itu satu program khas diatur bersama Kontinjen Pulau Pinang bagi membawa anak saya merasai pengalaman sebagai anggota polis,” katanya.

Dia berkata, anak bongsunya itu disahkan menghidap leukemia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan sejak itu, dia dan isteri, Zakiah Md Yusoff, 38, berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan setiap bulan.

Sehubungan itu, Abdul Rahim membawa kanak-kanak berkenaan menaiki kereta peronda selain membuat persembahan kawad kepadanya.

“Selain itu, Mohd Uzair diberikan seragam dilengkapi peralatan polis serta dibawa melawat sekitar IPDSPS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 9:19 AM