Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Berdiri, mencangkung atau menumpang teduh seketika di sebuah kedai runcit ketika menunggu bas awam adalah antara situasi boleh dilihat hampir setiap hari di hadapan Masjid Jamaeatus Solehah di Pekan Dengkil, dekat sini.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, pengguna pe- ngangkutan awam itu menunggu bas dalam keadaan tidak selesa memandangkan tiada kemudahan bangku berbumbung atau pondok menunggu bas di kawasan berkenaan.

Kebanyakan pengguna yang menunggu bas di kawasan itu mahu ke arah Labohan Dagang, Bukit Changgang dan Banting manakala arah bertentangan pula ialah ke Putrajaya.

Pada masa sama, ada sebuah pondok menunggu bas terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan, tetapi pengguna tidak menggunakannya kerana didakwa agak jauh.

Peniaga runcit Jamilah Mamat, 50, berkata, ketiadaan pondok menunggu bas di kawasan itu mengundang ketidakselesaan kepada pengguna terutama yang membawa anak kecil.

Menurutnya, pengguna paling ramai menunggu bas di kawasan itu pada waktu pagi dan petang.

“Orang ramai terpaksa berdiri lama untuk menunggu bas dan kadangkala mereka juga menumpang teduh di kedai runcit saya untuk mengelak cuaca panas dan hujan.

“Pernah juga mereka berteduh panas dan hujan di kawasan tempat letak kereta dalam masjid, tetapi ia menyebabkan bas tidak berhenti kerana pemandu tidak nampak penumpang sedang menunggu bas,” katanya.

Jamilah berkata, pengguna tiada pilihan melainkan terpaksa menunggu di luar pekarangan masjid sambil berdiri bagi mengelakkan tertinggal bas.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat membina pondok menunggu atau jika tidak boleh mungkin hanya bangku berbumbung bagi keselesaan pengguna,” katanya.

Perkara sama turut diluahkan seorang pengguna jalan raya Mohd Roslan Lasa, 52, mengenai kemudahan pondok menunggu bas di kawasan itu.

Katanya, dia sering menggunakan laluan ke Dengkil kerana bekerja dan mendapati tidak ada pondok menunggu bas di situ untuk keselesaan pengguna pengangkutan awam berteduh daripada panas dan hujan.

“Situasi ini sudah lama berlaku sejak dahulu lagi, sekali gus menyukarkan pengguna yang mahu mendapatkan pengangkutan awam di situ.

“Justeru, saya mencadangkan pihak berkenaan membina pondok menunggu bas bagi pengguna yang mahu ke Banting serta membina satu lagi di arah bertentangan bagi pengguna mahu ke Putrajaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:12 AM