Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Penularan fahaman songsang di negara ini terutamanya kumpulan ajaran sesat dikenali Millah Abraham bukan ‘masalah tempatan’, sebaliknya ia adalah dakyah pihak tertentu merosakkan akidah umat Islam di rantau ini.

Pendedahan itu dibuat Jurucakap Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI) Noor Mohamed Mohd Yousuf berdasarkan maklumat pihaknya termasuk penemuan beberapa buku modul pembelajaran ajaran terbabit yang mendedahkan pembabitan pihak tertentu.

“Mungkin ada pihak yang beranggapan kumpulan ini adalah masalah tempatan dan tidak membabitkan negara lain. Tanggapan itu nyata meleset kerana ia disasarkan golongan tertentu untuk merosakkan akidah Islam di Nusantara ini.

“Umat Islam di rantau ini 500 juta dan jika semua bersatu, ia mungkin memberi kesan buruk kepada pihak berkenaan, jadi, mereka cuba merosakkanya menerusi penyebaran akidah sesat seumpama ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan lapan individu termasuk seorang wanita berusia awal 40-an yang juga pemilik koperasi kerana cuba menyebarkan doktrin palsu di premis di Wangsa Maju.

Akhbar ini mendedahkan kegiatan ajaran terbabit sejak 7 September lalu menerusi beberapa siri pembongkaran kumpulan terbabit yang antara lain mengakui kewujudan nabi baru.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:12 AM