Bagan Serai: Tindakan mencurigakan seorang lelaki menaiki motosikal Honda EX5 cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah dilakukannya selepas polis menemui dadah jenis heroin dan ganja.

Dalam sekatan dilakukan jam 2.15 petang, Selasa lalu di Jalan Siakap di sini, pemeriksaan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menemui heroin 133.4 gram dan satu bungkusan berisi ganja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, dadah berkenaan ditemui dalam beg silang dibawa suspek manakala sebilah pisau Rambo ditemui terselit pada betis kirinya.

Polis juga menemui wang tunai RM3,000 dipercayai wang hasil jualan dadah.

“Suspek sebelum itu panik selepas melihat sekatan dilakukan polis dan cuba melakukan pusingan U, namun gagal selepas tindakan pantas anggota polis menahannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:11 AM