EKAJIT Kraivichien memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lee Tze Siang dan anaknya Lee Jin Yuan.
EKAJIT Kraivichien memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lee Tze Siang dan anaknya Lee Jin Yuan.
Oleh Shamsul Munir Safini

Butterworth: Tan Kim Kee, 72, yang juga ibu mentua kepada Neoh Hock Guan, 55, mangsa yang terselamat dalam kejadian letupan di Bangkok, tenang sebaik diberitahu mengenai kematian lima ahli keluarganya termasuk dua anak perempuan, cucu menantu, cucu dan cicitnya.

Hock Guan berkata, dia dan ahli keluarganya yang lain pada mulanya mahu menyembunyikan kejadian berkenaan daripada Kim Hee sejak Isnin lalu, namun terpaksa memberitahu perkara sebenar, petang kelmarin, selepas warga emas terbabit didapati dalam keadaan terpinga-pinga apabila beberapa khemah dipasang di hadapan rumahnya di Taman Dedap di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak mampu merahsiakan perkara itu selepas warga emas terbabit seolah-olah semakin mengetahui perkara sebenar mengenai kejadian yang mengorbankan lima daripada tujuh ahli keluarganya yang berkunjung ke Bangkok.

“Pada mulanya kami hanya memberitahu hanya seorang daripada ahli keluarga meninggal dunia dan ketika itu dia sudah begitu sedih sehingga sering dilihat menangis.

“Namun, kami sekeluarga tidak dapat lagi mengelak daripada memberitahu perkara sebenar selepas semua orang bercakap mengenai kejadian itu dan ia sudah menjadi viral dan disiarkan di media,” katanya.

Di samping itu, Hock Guan berkata, mereka terpaksa memberitahunya perkara sebenar dan warga emas berkenaan dilihat dalam keadaan tenang selepas menerima kaunseling daripada Pertubuhan Budha Tzu Chi, walaupun masih bersedih kerana kehilangan dua anak perempuannya serentak.

Kim Kee adalah ibu kepada mendiang Lim Saw Gek, 49, dan Lim Soo See, 52 dan kediaman mereka dikunjungi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Ekajit Kraivichien, semalam.

Sementara itu, Guan Eng dan Ekajit hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang dan anaknya, Neoh Jai Jun, 20, yang terkorban dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 9:21 AM