LOKASI letupan bom. FOTO EPA
LOKASI letupan bom. FOTO EPA
Oleh Suraya Roslan dan Fardy Bungga


Bangkok: Lima individu dan empat jasad rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden serangan bom di Kuil Erawan, di sini, akan dihantar pulang esok atau lusa.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata, empat yang disahkan meninggal dunia berasal dari Pulau Pinang adalah Lim Sew Gek, 49, anak lelakinya, Neoh Jai Jun, 20, dan menantu lelaki, Lee Tze Siang, 33, serta salah seorang cucu dikenali sebagai Lee berusia empat tahun.

Menurutnya, beliau sudah bertemu dengan suami mangsa Neoh Hock Guan yang turut cedera di kedua belah tangan dan dirawat di Hospital Umum Polis di sini.

“Selain itu, terdapat tiga sekeluarga turut cedera dalam serangan itu iaitu Tan Rui Hun, 29, Tan Kim Siok, 52, dan seorang lagi belum dikenali.

“Pihak kedutaan sedang berusaha menguruskan proses penghantaran pulang semua mangsa yang terbabit dijangka esok atau lusa bergantung kepada proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat pastikan jumlah rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden berkenaan tetapi mereka sentiasa berhubung rapat dengan kerajaan Thailand dan polis negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 6:01 PM